

Hadith
Tajuk : |
Dua Perkara Yang Mendatangkan Azab |
Hadith : |
Ibnu Abbas menceritakan :”Nabi SAW berjalan melalui sebuah kebun di Madinah atau di Mekah. Lalu kedengaran oleh baginda suara dua orang sedang disiksa dalam kuburnya. Maka bersabda Rasulullah SAW :”Keduanya disiksa bukanlah kerana dosa besar.” Kemudian baginda melanjutkan perkataannya,:”Yang seorang disiksa kerana kencing di tempat terbuka) dan yang seorang lagi kerana membuat fitnah supaya orang bermusuh-musuhan.” Sesudah itu baginda menyuruh supaya mengambil pelepah tamar lalu dipatah dua oleh baginda dan diletakkan di atas kedua kubur itu masing-masing satu pelepah. Seseorang pun bertanya:”Ya Rasulullah! Mengapa kamu lakukan seperti itu?” Jawab baginda “Mudah-mudahan kedua-duanya mendapat keringanan selama pelepah tamar itu tidak kering.” (Bukhari) |
Huraian
Sebagai seorang Muslim, aspek kebersihan hendaklah dititik beratkan termasuklah perkara-perkara asas seperti qadha’ hajat (buang air kecil atau besar). Islam selaku agama yang sempurna telah menyediakan tata tertib yang sepatutnya untuk diikuti demi menjamin kesihatan umatnya. Demikian juga dengan bersuci di mana tabiat tidak bersuci sesudah kencing oleh sesetengah orang yang dianggap perkara biasa sebenarnya mendatangkan azab yang amat besar di akhirat kelak sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith di atas kerana membuang air tanpa bersuci atau membuang air di tempat-tempat terbuka (di tepi-tepi jalan tanpa bersuci) dilarang oleh Islam kerana ia mencerminkan adab yang kurang sopan selain mendedahkan seseorang itu kepada jangkitan penyakit.
Tajuk : |
Luasnya Syurga! |
Hadith : |
Dari Sahal bin Saad r.a dari Rasulullah s.a.w sabdanya:”Di dalam syurga terdapat sebatang pokok yang naungannya tidak terlewat (tidak terlepas dilalui di bawahnya) oleh seorang pengendara selama seratus tahun.” (Muslim) |
Huraian
Allah berfirman yang maksudnya:"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa" (ali-Imraan:133) Sememangnya syurga itu sungguh luas dan setiap menuasia menginginkan syurga di akhirat. Syurga, di dalam al-Quran, disebut Jannah. Penghuninya adalah orang-orang yang bertaqwa . Maka alangkah bahagianya sekiranya kita dapat membimbing diri kita, anak-anak dan isteri kepada cara hidup yang diredhai Allah sehinggakan semuanya terselamat daripada api neraka. Bahkan sebuah keluarga yang bertakwa itu bukan sahaja akan bersama-sama mengecap kebahagiaan di dunia tetapi di akhirat juga mereka akan berkumpul lagi untuk kehidupan yang selama-lamanya. Firman Allah S.W.T yang maksudnya:”...syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu.” (ar’Ra’d: 23)
Tajuk : |
Bukan Salah Ibu Mengandung ! |
Hadith : |
Dari jabir r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda:”Perumpamaanku dengan kamu sekelian ialah bagaikan seorang yang menyalakan api. Maka serangga-serangga berterbangan menjatuhkan diri ke dalam api itu. Padahal orang tersebut telah berusaha menghalaunya. Dan aku telah mencegah kamu semua agar tidak jatuh ke dalam api tetapi kamu meloloskan (melepaskan) diri dari tanganku.” (Muslim) |
Huraian
Rasulullah s.a.w telah ditugaskan membawa petunjuk daripada Allah S.W.T dan kita selaku umatnya hendaklah menurut segala ajaran yang telah disampaikan itu kerana itulah satu-satunya jaminan kita akan terlepas daripada azab Allah di akhirat kelak dan juga mendapat keselamatan hidup di dunia. Sesungguhnya tiada jaminan yang lebih besar selain daripada mendapat perlindungan daripada Allah yang Maha Berkuasa. Meskipun dikatakan bahawa manusia itu tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa namun tentu ada caranya agar kita tidak terus bergelumang dengan perkara-perkara tersebut iaitu dengan sesegera mungkin kembali kepada kebenaran dan meninggalkan kebiasaan buruk sebelumnya. disertai dengan meminta keampunan dari Allah dan bertaubat. Oleh itu setiap manusia itu wajib menggunakan akal fikirannya untuk menilai manakah yang baik dan manakah yang buruk dan sentiasa memohon hidayah daripada-Nya agar ditetapkan hati dan jiwa mereka di atas jalan kebenaran kerana hidayah itu hanya akan singgah pada hati yang sentiasa mencarinya.
selamat tahun baru..
BalasPadam