Tajuk : Hutang
Hadith : Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:” Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari.” Riwayat al-Baihaqi
Huraian
Pengajaran hadis:
i) Strategi pengawalan perbelanjaan adalah bergantung pada kesesuaian dan keperluan tertentu seseorang atau sesebuah keluarga. Pepatah ada mengatakan “ Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis”.
ii) Seharusnya setiap individu mengamalkan sifat ‘qanaah’ iaitu bersyukur dan redha dengan apa yang ada serta memastikan bahawa keperluan tidak melebihi kemampuan. Amalkan sikap berjimat cermat dan membuat simpanan (tabungan) bagi mencapai keselamatan ekonomi kerana orang yang mengamalkan sikap tamak dan boros sehingga sanggup berhutang bukan sahaja boleh meningkatkan inflasi malah membawa kemuflisan dan kepapaan.
iii) Hutang wajib dibayar sesuai dengan waktu yang dijanjikan iaitu tidak menangguh-nangguhkannya. Adalah dikira berdosa bagi orang yang tidak mahu membayar hutangnya dengan sengaja walau bagaimana kecilpun hutang tersebut. Hal ini termasuk juga hutang yang berlaku dengan orang yang bukan Islam serta seseorang yang berhutang tetapi telah meninggal dunia dan belum sempat membayar hutangnya. Maka ahli waris si mati hendaklah berusaha untuk melangsaikannya.
iv) Islam selaku agama yang sempurna telah menyusun beberapa langkah mengenai proses berhutang di mana hutang yang dibuat hendaklah dicatat jumlah dan masa pembayarannya serta dilantik seorang penulis yang adil sebagai saksi. Ia bertujuan untuk mengelak dari sebarang penipuan dan penganiayaan.
v) Sesungguhnya melepaskan hutang orang menghutangi kita adalah suatu perbuatan yang mulia. Ganjaran yang besar menanti iaitu berupa naungan Arasy di akhirat kelak.
Tajuk : Kepentingan Berkasih Sayang
Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesiapa yang tidak mengasihi orang muda dan tidak mengenali hak orang tua maka bukan dari kalangan kami.”
Riwayat Abu Daud
Huraian
1. Orang beriman adalah mereka yang hidupnya saling hormat menghormati dan kasih mengasihi antara satu sama lain tanpa mengira usia, tua ataupun muda.
2. Orang yang gersang daripada sifat kasih sayang biasanya bersikap ganas dan kasar hingga akhirnya hidupnya menjadi terasing dan terpinggir daripada masyarakat.
3. Kekejaman berupa penderaan dan kekerasan terhadap golongan yang lemah sama ada terhadap kanak-kanak dan orang tua merupakan suatu perbuatan yang amat dibenci oleh agama kerana ia mempamerkan sifat zalim dan tidak berperikemanusiaan yang tidak sepatutnya ada pada diri seorang manusia yang dianugerahkan Allah dengan akal fikiran dan perasaan.
Tajuk : Sesal Dahulu Pendapatan Sesal Kemudian Tiada Gunanya
Hadith : Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Nabi s.a.w bersabda:”Setiap yang masuk ke dalam syurga diperlihatkan kepadanya tempat diamnya di dalam neraka jika seandainya dia melakukan kesalahan, supaya dengan itu bertambah syukurnya kepada Tuhan. Setiap orang yang masuk ke dalam neraka, diperlihatkan kepadanya tempat diamnya di dalam syurga jika seandainya dia melakukan perbuatan baik, supaya dengan itu timbul penyesalannya.” (Bukhari)
Huraian
Syurga dan neraka bukanlah asing bagi pendengaran manusia yang sampai kepadanya seruan dakwah Islam. Namun begitu tidak banyak yang mengambil iktibar di atas setiap peringatan yang diberikan iaitu tentang azab yang bakal dikenakan kepada orang yang melanggar perintah Tuhan dan balasan nikmat yang bakal dinikmati oleh orang yang beriman dan beramal soleh. Lantaran itu di akhirat kelak tiada manusia yang tidak akan menyesal di atas segala kejahatan yang telah dilakukan bila mana mereka melihat akan keindahan syurga yang diperlihatkan kepada mereka berserta dengan segala nikmat di dalamnya manakala orang-orang yang dimasukkan ke dalam syurga pula akan merasa sungguh bersyukur kerana terselamat daripada bencana yang amat mengerikan sepertimana yang mereka lihat pada neraka dan penghuni neraka yang mengalaminya. Oleh itu kita selaku orang yang masih hidup yang masih mempunyai harapan (peluang) untuk memperbaiki nasib kita di akhirat kelak hendaklah segera bertaubat dan mengerjakan amalan yang diredhai Allah SWT agar nanti kita tidak tergolong di kalangan mereka yang rugi.
Tajuk : Rahmat Dan Kasih Sayang Allah
Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Tuhan Yang Maha Suci dan Maha Tinggi berfirman: "Demi kemuliaan dan kebesaranKu! Aku tidak akan mengeluarkan dari dunia (mematikan) seseorang - yang Aku hendak mengampunkan dosanya sehingga Aku sempurnakan balasan tiap-tiap kesalahan yang ditanggungnya, dengan ditimpakan penyakit pada badannya, dan kepicikan pada rezekinya." Anas r.a
Huraian
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Tuhan Yang Maha Suci dan Maha Tinggi berfirman: "Demi kemuliaan dan kebesaranKu! Aku tidak akan mengeluarkan dari dunia (mematikan) seseorang - yang Aku hendak mengampunkan dosanya sehingga Aku sempurnakan balasan tiap-tiap kesalahan yang ditanggungnya, dengan ditimpakan penyakit pada badannya, dan kepicikan pada rezekinya."
TJ:Semoga mendapat manfaat...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan