Jumaat, Februari 12, 2010

Tazkirah Jumaat

Salam,

Tajuk :
Mati Dengan Mata Terbeliak
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Tidakkah kamu lihat apabila seorang manusia mati, matanya terbeliak ke atas?” Jawab mereka, “Ya kami melihatnya, ya Rasulullah.” Sabda baginda lagi:”Hal itu terjadi kerana penglihatannya mengikut rohnya ketika roh itu pergi.”

(Muslim)



Huraian
Kehidupan yang singkat di dunia ini amat penting dalam menentukan kehidupan yang panjang di akhirat kelak. Manusia, selain tidak mengetahui hari kematiannya, mereka juga tidak mengetahui nasib akhirnya sama ada mati dalam keadaan “husnul khatimah” atau “su’ul khatimah”, sekalipun amal ibadat dirasakan semakin bertambah. Rasulullah SAW sendiri telah bersabda yang maksudnya:”Dan Dialah Tuhan dan tiada Tuhan selain Dia. Sesungguhnya salah seorang di antara kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dia dengan syurga itu hanya sehasta. Tiba-tiba kitabnya telah mendahuluinya, lalu ia pun beramal dengan amalan ahli neraka, maka ia masuk ke dalam neraka. Dan sesungguhnya salah seorang di antara kamu beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dia dengan neraka itu sehasta sahaja. Tiba-tiba kitabnya telah mendahuluinya, lalu ia pun beramal dengan amalan ahli syurga, maka ia masuk ke dalam syurga.” (Bukhari). Hadith ini memperingatkan kita bahawa tidak ada manusia yang dapat menjamin kesudahan yang baik bagi dirinya. Namun begitu dalam meniti saat-saat kematian, adakalanya Allah SWT menunjukkan kepada hambaNya tanda-tanda baik ("Husnul Khatimah") atau tanda-tanda buruk (“su’ul khatimah”) dalam mengakhiri ajal seseorang. Sebab itulah kita diseru agar sentiasa berhati-hati supaya tidak terjerumus dengan godaan syaitan yang menggoda tidak kira masa sama ada ketika masih hidup di dunia atau semasa menghadapi sakaratul maut. Sesungguhnya mengingati dan menghayati erti kematian adalah satu motivasi diri yang terbaik supaya diri kita menjadi lebih insaf dan tidak leka dengan keindahan dunia yang hanya sementara ini.


Tajuk :
Sekitar Hukum Berkenaan Arak
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Arak ialah setiap yang merosakkan akal fikiran.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian
1. Ijmak ulama’ telah menetapkan bahawa meminum arak adalah haram sama ada dengan kuantiti yang sedikit atau pun banyak.
2. Islam juga mengharamkan daripada menjual, membeli, ataupun memperniagakan arak meskipun dengan orang yang bukan Islam. Hal ini tidak terkecuali dengan mengangkut atau membawa serta membuat arak. Hukumnya juga haram.
3. Demikian juga Islam mengharamkan seseorang Muslim menjual anggur kepada orang yang mahu memprosesnya menjadi arak.
4. Majlis-majlis yang berunsur arak juga hendaklah diboikot dan kita dilarang mendampingi peminum arak.
5. Menggunakan arak semata-mata sebagai ubat juga adalah haram dan berdosa. Lain halnya dengan campuran ubat dengan kadar tertentu dari alkohol- contohnya kerana darurat-seperti untuk memelihara sesuatu supaya tidak rosak. Tetapi ia hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:
i) Terdapat bahaya yang sebenar ke atas kesihatan manusia jika tidak meminum ubat tersebut.
ii) Tiada ubat lain yang halal untuk menggantikannya.
iii) Ia hendaklah dengan nasihat seorang doktor Muslim yang dipercayai dalam profesionnya dan juga dari segi agamanya. Hal ini kerana prinsip Islam itu berdiri di atas dasar kemudahan, menghindarkan bahaya dan melaksnakan maslahah berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud:” Sesiapa yang terpaksa (memakannya) tanpa mengingininya dan tanpa mengulanginya maka tiada dosa atasnya.” (al-Baqarah: 173)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan